Oleh Rusyainie Ramli
Di hening pagi ini, saya dikejutkan dengan berita pemergian anggota di
bawah naungan saya. Usianya masih muda, baru melepasi umur 30-an.
Anak-anaknya masih kecil tetapi siapa sangka sakit jantung yang
menyerangnya secara tiba-tiba di saat semua orang lena diulit mimpi
itulah tanda untuk dia tiada buat selamanya.
Dia digegaskan ke hospital, tetapi dia gagal diselamatkan.
Dia perokok semasa hayatnya. Memang ajal maut itu Allah juga yang Maha Mengetahui tetapi, rokok itulah meragut nyawanya!
Ini bukan kes pertama saya. Serangan penyakit jantung sudah seolah-olah
menjadi satu kebiasaan. Bekerja di kalangan lelaki yang di usia
produktif, sepatutnya penyakit jantung bukan sesuatu yang lazim tetapi
kini tidak lagi.
Semakin lama, semakin muda usia pesakit saya yang mengalami serangan
jantung. Sungguh menakutkan dan menggerunkan. Mereka punya satu
persamaan iaitu, mereka merokok dan mereka telah mula merokok sejak dari
usia remaja lagi.
Wahai mak ayah di luar sana, tolonglah berbuat sesuatu. Tanamkan
kebencian kepada rokok di dalam diri anak-anak kita di usia mereka masih
kecil lagi. Tunjukkan segala kemudaratan rokok yang ada di hadapan mata
kita.
Untuk lelaki-lelaki di luar sana yang bergelar ayah yang merokok,
sudahkah cukup segala persiapan untuk ditinggalkan kepada isteri dan
anak-anak sekiranya terjadi perkara yang sama seperti pesakit saya hari
ini? Sanggupkah kita melihat isteri dan anak-anak hidup merana kerana
kita sibuk sangat melayan kenikmatan beberapa saat bahana nikotin
sedangkan kesihatan itu tidak boleh dijual beli?
Sudah berbuih mulut saya menasihatkan semua anggota dan pegawai yang
saya kenali. Itulah yang saya ulang-ulang setiap hari selama
bertahun-tahun. Entahlah, saya juga sudah mati akal dibuatnya.
Innalilhiwainnailaihirajiun...
0 Response to "Kepada perokok bergelar bapa, dah cukup persiapan untuk isteri & anak-anak sekiranya anda sudah tiada? "
Post a Comment